Articles

banner2

Seramai 3,007 kanak-kanak tadika Little Caliphs cawangan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyertai program Simulasi Haji Cilik 2016 bagi merasai pengalaman suasana sebenar mengerjakan ibadah haji. Program yang julung kali dianjurkan Little Caliphs International Sdn Bhd (LCISB) dengan kerjasama Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) itu diadakan di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif LCISB Roslan Nordin berkata, objektif utama program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan ibadah haji bagi memberi pengetahuan dan latihan praktikal kepada mereka.“Pendedahan ini secara tidak langsung membantu mereka yang berusia enam tahun itu memahami dan mempelajari cara melakukan ibadah haji.“Selain itu, program simulasi haji cilik selaras dengan misi Little Caliphs untuk menyuburkan rasa cinta kepada Islam dan ilmu pengetahuan,” katanya. Turut hadir Pengerusi PERTIM Datuk Mohd Nahrawi Hashim.

Dalam program bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, semua peserta memakai pakaian ihram supaya mereka menghayati pengalaman mengerjakan ibadah berkenaan. Sementara itu, Nahrawi berkata, semua peserta melakukan ibadah tawaf, berwukuf, mengutip batu dan melontar jamrah. “Program ini juga bersempena musim haji 1437 Hijrah dan satu inisiatif bijak bagi mengajar anak kecil mencintai Rukun Islam kelima pada usia muda. “Kita berhasrat meneruskan program ini berikutan sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan diperkembangkan ke negeri lain, ” katanya.